CERPEN PENDEK UNTUK UTUSAN
12:24 PMPANGGILAN ANNAPURNA
...................................................
Panggilan Annapurna ni tercetus selepas ak ternampak post di FB untuk pertandingan cerpen pendek yang dianjurkan oleh pihak UTUSAN. Maksimum sebanyak 1000 patah perkataan je. So, kau tak boleh nak melalut ke laut sangat. Hadiah yg bakal dimenangi pula adalah wang berupa RM 1K. Pergh..sape nak bagi kan? Tak salah kalau ak nak mencuba nasib kan walaupun aku dah tahu jawapan nya menghampakan tulang rusuk ak. Ehh.. Takpe..bak kata orang business, yg penting buat je dulu. Yeke? Ak pun semangat lah buat. Dalam masa 2 hari siaplah cerpen ak ni. Enjoice guys..!! Jangan kecam hakak okeh!
Hujan lebat di luar
jendela pejabatku. Semakin lama semakin lebat. Mataku masih tertancap di
hadapan skrin komputer untuk menyiapkan tugasan yang masih berlambak. Jam sudah
menunjukkan pukul satu petang. “ Anna, jom lunch!
“ Mira mengajakku dengan penuh semangat. “ Kau pergilah dahulu, aku tak lapar
lagi “. Jawabku acuh tak acuh sambil melayari laman sosial Facebook setelah menyedari masing-masing sudah pun keluar berehat.
Tiba-tiba aku terlihat satu post yang
menarik perhatianku di halaman utama Facebook
yang bertajuk “ Seorang gadis membawa diri ke kem Annapurna meskipun tanpa
persediaan “. Di dalam hatiku terdetik rasa kagum terhadap gadis tersebut.
Bagaimana seorang gadis boleh membawa diri sebegitu jauh sehingga ke Nepal? Ku
baca kisah gadis tersebut sehingga habis. “ Annapurna.” Kataku perlahan seakan
berbisik, seperti namaku Anna Zafirah. Laju jemariku menaip perkataan Annapurna
di carian google dan terpampanglah
pelbagai imej Annapurna yang membuatkan degupan jantungku terhenti seketika.
“ Annapurna ialah gunung dan sebahagian daripada bongkah
Annapurna di Himalaya di utara-tengah Nepal yang merangkumi satu puncak lebih
8,000 meter, tiga belas puncak lebih 7,000 meter, dan enam belas lagi lebih
6,000 meter ”. Masa rehatku dihabiskan dengan membaca maklumat tentang
Annapurna. Kali ini aku nekad, jika gadis ini boleh lakukan tanpa sebarang
persediaan bermakna aku juga boleh realisasikan impianku juga.
Sebulan yang lepas, aku
pernah menyuarakan hasrat hatiku kepada keluargaku untuk berhenti kerja dan
mengembara satu dunia. Tetapi apakan daya hasratku cuma disambut dengan hilai
tawa dan pandangan sinis ahli keluargaku. Pelbagai persoalan dilemparkan
kepadaku. “Kau tak boleh, Anna tak cukup
fit untuk mengembara”, “ Anna ada duit
ke nak mengembara jauh-jauh?”,” Anna, hidup kat sini pun tak terurus macam mana
nak pergi ke negara orang?”, “Bahaya la Anna pergi seorang, sekarang ni
macam-macam yang terjadi”. Anna itu tak boleh, Anna ini tak boleh, membuatkan aku
terdiam. Diamku bukan tanda setuju dengan kata-kata mereka tetapi diamku membuatkan
aku semakin nekad untuk meneruskan misiku.
...................................................
Tepat pukul 5.30 petang,
aku keluar dari tandas lengkap dengan kasut dan berpakaian sukan. “ Eh kau nak
pergi mana ni Anna bersiap dengan pakaian sukan ni? ” Tanya rakan sekerjaku,
Suraya dengan muka yang agak pelik. “
Aku nak pergi bersenamlah Sue, kau nak ikut aku ke?” Balasku dengan senyuman
nakal. “ Bersenam? Eh memang tak lah. Baik aku balik rumah sambung tidur “
Tersenyum aku mendengar jawapan Sue. Kalau dia tahu apa yang sedang aku
rancangkan sekarang, mesti aku dikatakan sebagai perempuan gila. Petang itu dan
hari-hari seterusnya, aku menghabiskan masa petangku berjoging di taman riadah
untuk mendapatkan stamina sebelum bergerak ke sana.
...................................................
Tiket sehala ke
Kathmandu sudah selamat ku beli. Belum terfikir untuk membeli tiket pulang
kerana mungkin berminggu atau berbulan aku ke sana. Banyak destinasi yang perlu
kulawati dan pengalaman yang perlu ku
cari di sana. Emel yang dihantar kepadaku dibaca dengan teliti. Segala maklumat
tentang Nepal dan kem Annapurna ku cari di blog
dan mula membuat perancangan sendiri. Selepas ini, aku perlu menguruskan visaku
di kedutaan Nepal di Kuala Lumpur. Segala maklumat dan jadual perjalanan aku ke
sana telah disenaraikan di dalam buku untuk panduanku di sana kelak.
....................................................
“ Anna dah fikir
masak-masak ke nak pergi ke sana?” Tanya Aiman kepadaku dengan nada yang
serius. Aku hanya memandang Aiman dengan pandangan yang kosong kemudian
tersenyum nakal. “ Aiman rasa? “ Tanyaku kembali seolah-olah bermain tarik tali
dengannya. “ Janganlah main-main, Aiman serius ni. Tak kesian ke nak tinggalkan
Aiman keseorangan di sini?” Tiba-tiba riak wajah Aiman berubah menjadi sedih
membuatkan aku menjadi tidak keruan. “Aiman, awak tahu kan kenapa Anna nak
sangat pergi ke sana. Anna perlukan permulaan yang baharu untuk diri Anna.
Memang dari kecil Anna nak sangat pergi mengembara ke tempat orang “ Panjang
lebar aku terangkan ke Aiman. Aku menyambung lagi, “ Semua orang tak percayakan
Anna. Anna cuma harapkan Aiman seorang untuk menyokong impian Anna”. Lembut
kata-kataku memujuk Aiman yang sedang berduka lara. Jauh di sudut hatiku, aku
sangat menyayangi lelaki yang berada di hadapanku ini. Susah senangku Aiman
sentiasa berada di sisiku. Cuma aku belum terbuka hati untuk menerima dia
sebagai yang halal bagiku selagi hasratku belum tercapai. Aiman memandangku, “
Aiman faham, Aiman akan tunggu Anna. Aiman nak awak tahu yang saya sentiasa
menyokong keputusan Anna.”
...................................................
Surat cinta untuk bos telah kusiapkan malam tadi. Esok aku
akan serahkan surat berhenti serta-merta di bilik pejabatnya. Tiada siapa pun
yang tahu keputusan drastikku ini kecuali Aiman. Keluargaku pula akan
kuberitahu sehari sebelum aku berangkat ke sana. Aku terpaksa buat begini untuk
mengelakkan mereka mencemari fikiranku supaya aku membatalkan hasratku ke
Nepal. Aku sangat bersyukur dapat mengenali Aiman kerana dialah yang sering
memberiku semangat untuk meneruskan ekspedisi ini. Setibanya di pejabat, pintu
bilik bos ku ketuk perlahan.
...................................................
Hari yang dinanti-nanti
sudah pun tiba. Aku sudah berada di KLIA2
untuk penerbangan ke Nepal. Perasaanku bercampur baur kerana ini adalah
pengembaraan soloku yang pertama. Memang gila. Aku cuma berdoa kepada Tuhan
supaya perjalananku selamat sampai dan dipermudahkan. Tiket ke Kathmandu aku
pegang erat-erat. Restu ibu sudah ku pinta walaupun agak berat untuk ibu
melepaskanku pergi. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi merdu. Tertera nama
Aiman di skrin telefonku. “ Anna, tunggu Aiman di sana! Aiman dalam perjalanan!
“ Suara Aiman berbunyi cemas dan tercungap-cungap. “ Sana mana? Saya di
lapangan terbang dah ni awak. Kejap lagi penerbangan saya akan berlepas.” Aku
cuba menerangkan kepada Aiman. “ Tunggu saya di Kathmandu. Saya datang temankan
awak ke Annapurna.” Aku terkejut dan terkesima. “ Aimannn..!! “ Aku terjerit
kecil. Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku Aiman segera mematikan talian
di hujung sana. Kemudian, aku tersenyum. Terima kasih Aiman. Rupa-rupanya
panggilan Annapurna bukan untukku seorang tetapi untuk kami berdua.
...................................................
ORIGINAL STORY FROM ME, MIERA MEET MONO.
NOTAKAKI : Sekarang dalam misi menyiapkan salasilah keluarga untuk 6 generasi. Wish me luck guys!!
2 darlings
Wahh, menarik. Semoga berjaya. Already follow your blog sis. Jemput singgah di blog saya,
ReplyDeletehttp://kebaikankeindahan.blogspot.my/?m=1
Thanks!! hihi..done follow u too husniey =)
Delete